Sunday, October 19, 2008

TELAH TIBA DETIKNYA... JUMAAT 9.20 A.M

Pada pagi Jumaat lepas (17 Okt 2008) , jam 9.20 pagi ibu saudara yang saya panggil Mak Long telah dijemput Ilahi kembali ke sisiNya di rumahnya di Kuala Besut. Inna Lillah Wa Inna Ilaihi Rajiun. Ketika menerima panggilan daripada adik di kampung, saya sedang bertugas sebagai pengawas PMR yang berakhir beberapa minit kemudian iaitu jam 9.30 pagi.

Sebenarnya kami memang merancang akan pulang ke kampung pada malam itu untuk menziarahi Mak Long yang sudah terlantar sakit beberapa hari, tetapi rupanya perancangan Allah adalah berbeza... Kiranya beliau hanya menunggu kedatangan hari yang mulia untuk pulang menemui Pencipta... apabila tiba detiknya tidak dilewatkan walau sesaat pun... Maha Besar Allah...

Kami dimaklumkan jenazah akan dikebumikan selepas Solat Jumaat. Ini bermakna kami tidak akan sempat menatap wajah arwah buat kali terakhir. Hanya 'hadiah' dikirimkan lewat bacaan ayat-ayat suci...

Kami bertolak pada 11 pagi dan tiba di Kuala Besut kira-kira jam 5.30 ptg. Sayu hati melihat 'kolam' tempat memandikan jenazah masih berada di perkarangan rumah. Apa pun kita tahu mati itu pasti... redhalah atas ketentuan Ilahi.

Menziarahi jenazah adalah hak seorang muslim terhadap muslim yang lain. Tetapi jangan beranggapan "kalau tak sempat tgk jenazah tak payah ziarah, sedekah saja Al-Fatihah".
Ahli keluarga yang ditinggalkan memerlukan sokongan kita... agar ujian yang diterima terasa hikmahnya...

Tuntutan tugasan abang sebagai Ketua Pengawas PMR yang tidak sempat disiapkan pada hari Jumaat menyebabkan kami bertolak balik ke Parit Buntar petang semalam (Sabtu 18 Okt 2008) jam 5 petang dan tiba di Parit Buntar jam 11.50 mlm tadi. Walaupun tidak sempat berjumpa arwah pada detik-detik terakhir tetapi saya tidak ralat kerana semasa hayatnya saya berpeluang menyuapkan makanan ke mulutnya, memeluknya, memohon ampun daripadanya... seorang ibu saudara yang disayangi... :-(

Kepada sesiapa yang membaca coretan ini saya pohon sedekahkan bacaan Al-Fatihah untuk arwah Mak Long saya. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan para syuhada dan solihin... Amin.

No comments: