Thursday, October 23, 2008

BERKAT REZEKI KERANA SEDEKAH

Artikel ini adalah petikan daripada BERITA YPEIM yang diolah semula oleh blogger. Sekadar perkongsian dan renungan bersama...

Kekayaan tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta atau rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi. Sebaliknya tanpa keberkatan akan dirasakan sempit dan susah meskipun banyak harta.

(umpama pokok yang subur, harta yang diinfaqkan akan semakin bertambah..
itu janji Allah)

Dalam kisah Nabi, ada diceritakan Nabi Ayub ketika sedang mandi tiba-tiba Allah s.w.t. datangkan seekor belalang EMAS dan hinggap di lengannya. Baginda menepis-nepis dengan bajunya. Lantas Allah berfirman: "Bukankah aku lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih kaya?" Nabi Ayub menjawab: "Ya benar, demi keagunganMu apalah makna kekayaan tanpa keberkatanMu". Kisah ini menegaskan betapa pentingnya keberkatan dalam rezeki yang dikurniakan oleh Allah.


Cara untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah s.w.t. antaranya ialah:
  • Bersyukur atas apa yang dikurniakan oleh Allah.

  • Belanjakan harta pada jalan yang diredhai Allah.

  • Berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal.

  • Keluarkan sedekah wajib (zakat) jika sampai nisab dan berikan sedekah sunat kepada orang miskin dan anak yatim.

  • Bersedekah kepada anak yatim / miskin kalau boleh setiap hari. (Cari anak-anak yatim untuk diberikan), InsyaAllah akan diganti oleh Allah tanpa kita sedari.

  • Ikhlaskan pemberian / sedekah hanya kerana Allah bukan mengharapkan pujian dan sebagainya. (pemberian tangan kanan tanpa diketahui tangan kiri). Sedekah mulakan dengan keluarga sendiri dahulu selepas itu barulah kepada jiran dan orang-orang yang lebih jauh. Jangan anggap pemberian itu hak kita, sebenarnya dalam harta kita ada hak mereka.

  • Hulurkan pemberian sunat secara rahsia, tetapi pemberian wajib (zakat) perlu diberi secara terang-terangan sebagai menegakkan syiar Islam.
  • Wang zakat dapat digunakan untuk membantu orang yang memerlukan, membantu pelajar yang kurang berkemampuan dan dapat membangunkan negara.

    Konsep sedekah: Berikan sesuatu yang kita sayang. " kamu tidak akan memperoleh kebajikan sehingga kamu menafkahkan sebahagian dari apa yang kamu kasihi... " (maksud Surah Ali-Imran : ayat 92)


  • Cari harta dunia untuk dijadikan bekalan akhirat.

  • Amalan yang diberkati ialah hasil titik peluh sendiri dan juga melalui jualbeli (perniagaan). 9/10 daripada rezeki adalah berpunca daripada perniagaan. Peniaga yang jujur akan dibangkitkan bersama para nabi dan rasul di akhirat kelak.

  • Hulurkan bantuan kepada janda yang ketiadaan suami. Dalam satu hadith, Nabi menerangkan setiap awal pagi, semasa terbit matahari ada dua malaikat yang menyeru kepada manusia di bumi. Yang satu menyeru "Ya Tuhanku, kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kerana Allah". Yang satu lagi menyeru "musnahkanlah orang yang menahan hartanya (lokek / kedekut)".
Orang yang bakhil tidak memanfaatkan hartanya untuk dunia dan akhiratnya. Menginfaqkan (membelanjakan) harta adalah berkat, sebaliknya menahannya adalah celaka. Dalam hadith lain,
Nabi bersabda yang bermaksud: "takutlah api neraka walaupun dengan sebelah biji tamar".
Dan sabdanya lagi, "sedekah itu penghapus dosa sebagaimana air memadam api".
Konsepnya sama seperti ilmu, amalkan ilmu yang ada dan sebarkan, nanti Allah akan menambahkan ilmu lagi. Begitu juga harta, belanjakan harta yang ada pada jalan kebaikan, Allah akan tambahkan lagi dari sumber yang kita tidak ketahui...

Buat aku dan juga engkau... selamat berAMAL.

No comments: