Sunday, July 12, 2009

CATATAN PERJALANAN - Panas Sejuk Holiday


Sabtu 11 Julai 2009
Hari ini mengikut perancangan awalnya banyak perkara yang ingin dibuat. Ke Kamunting berjumpa doktor, ke SC Butterworth dan ke Sungai Petani hantar si Putih kepada Mr. Kaven. Tetapi akhirnya ke Kamunting cancel kerana doktor tiada di sebelah petang, ke SC tak jadi sebab Penang cuti, hanya plan ke SP yg berjalan. Itupun kira-kira jam 12.30 tgh setelah selesai mengemas rumah, mop lantai dan sebagainya baru kami turun dari rumah. Sebelum bertolak abang sempat berpesan supaya membawa persalinan, sekiranya tergerak hati untuk ke mana-mana.
Memandu sendirian melalui highway PLUS dari PB ke SP agak memenatkan mata, sakit kepala menjadi-jadi. Mungkin kerana tengahari adalah waktu mata sedang mengantuk. Sesampai di tempat yg dituju dan setelah urusan selesai, kembali ke kereta yang dipandu abang bersama Nabihah, mencari makan tengahari dan masjid untuk solat Zuhur. Hari pula hujan menyebabkan perjalanan agak terganggu.

Tiba-tiba abang mengajak ke kolam air panas di Baling. "Dah lama kita tidak bercuti" katanya. Setelah bertanya arah kepada beberapa orang kami pun meneruskan perjalanan melalui jalan lama, melalui pekan Kuala Ketil. Singgah solat Asar di Masjid Kupang. Kami tiba di Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong yang bertempat di Kg. Lalang, Mukim Siong lebih kurang jam 6.30 ptg.
Kolam utama di mana mata air panas ditakung sebelum disalurkan ke kolam-kolam kecil yang disediakan. Kelihatan wap memenuhi permukaan kolam air panas semulajadi ini.
Ketika kami tiba belum banyak pengunjung yg datang. Kami ingatkan tiada pengunjung kerana hari hujan. Rupa-rupanya kolam air panas di bawah pengurusan Majlis Daerah Baling ini memang dikunjungi orang pada waktu malam. Abang membuat keputusan untuk bermalam di situ. Chalet di sini agak selesa dan berdekatan dengan kolam air panas semulajadi tersebut. Ada juga pengunjung yang membawa khemah sendiri, sewa tapak dikenakan.

Terdapat dua buah kolam untuk orang dewasa yang mempunyai kedalaman yang berbeza serta sebuah kolam untuk kanak-kanak dan 1 kolam untuk wanita, juga mempunyai tahap kepanasan yg berbeza.

Dua buah kolam untuk orang dewasa sedang dibersihkan

Setelah selesai solat Maghrib barulah kami menjejakkan kaki ke dalam kolam yang disediakan. Pada awalnya memang terasa kepanasan airnya menyengat kulit, tetapi setelah memasukkan badan secara berperingkat ke dalam kolam, tubuh mula dapat menyesuaikan diri. Sesekali kelihatan wap memenuhi permukaan kolam apabila air panas dari kolam utama dilepaskan ke dalam kolam-kolam tersebut bagi mengekalkan suhunya. Terasa bagaikan mandi wap, muka berpeluh-peluh dan jantung terasa berdegup kencang. Keluar dari kolam badan terasa cukup letih bagaikan melakukan jogging yang jauh.

Nabihah pun cukup gembira berenang-renang di dalam kolam kanak-kanak. Dengan bangganya dia berkata "Nabihah dah besar, boleh tahan panas".

Aku tidak dapat bertahan lama di dalam kolam kerana terasa ingin pitam. Risau sesuatu yang tidak diingini berlaku kerana aku pernah mengalami tekanan darah rendah, aku kembali ke chalet sementara abang dan Nabihah masih menikmati terapi air panas tersebut. Ketika ini pengunjung belum terlalu ramai. Waktu paling ramai pengunjung di kolam air panas ini ialah antara jam 12 tgh malam ke jam 3 pagi. Lebih kurang jam 9.30 mlm kedua-dua buah hati ku kembali ke chalet.

Akibat keletihan terapi air panas tidur malam ini sungguh nyenyak. Dan kesejukan kawasan perbukitan di tambah lagi dengan suasana hujan menyebabkan Nabihah tidur berselimut, jika tidak jangan haraplah dapat selimutkan dia.

Ahad 12 Julai 2009

Pagi-pagi lagi Nabihah sudah meminta untuk turun ke kolam tetapi pada ketika itu pekerja sedang menukar air kolam jadi kami menunggu sehingga proses pembersihan kolam selesai. Setelah bersarapan barulah kami turun ke kolam. Hujan gerimis masih ada dan suasana perbukitan yang berkabus sungguh menyamankan. Amat sesuai mandi air panas. Ketika kami turun belum ada pengunjung yang mandi di kolam. Kolam dewasa juga belum selesai ditukar air. Jadi kami berendam di kolam kanak-kanak sahaja.

Rupa-rupanya pagi-pagi air di kolam kanak-kanak pun cukup panas. Mungkin kerana air baru ditukar. Usahkan Nabihah, abang pun tidak tahan dengan kepanasan airnya.

Kerana tidak tahan dengan panas itu, Nabihah hanya boleh merendamkan kaki hingga paha sahaja, dan tidak dapat berenang seperti malam tadi menyebabkan dia cukup kecewa. Tidak mahu pulang. Sehinggakan menangis dari saat turun chalet sehingga ke Pekan Baling kerana hendak mandi kolam.

Perjalanan pulang abang sengaja memilih untuk melalui jalan Kulim - Bandar Baharu . Untuk mengubati kekecewaan Nabihah, kami singgah di Pusat Rekreasi Batu Hampar memberi peluang untuknya mandi air bukit pula. Tak dapat mandi air panas, mandi air sejuk pun tak apalah.
Senyuman kembali terukir di bibirnya... alahai anak.

No comments: