Tuesday, June 30, 2009

BELAJARLAH RAJIN-RAJIN

28 Jun lepas adikku Hilmi telah mendaftarkan diri sebagai pelajar di Universiti Darul Iman, Gong Badak, Terengganu. Kursus Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan Islam).

Menurut Masturah, setelah disemak secara online, dan melihat kursus yang diperolehinya perkataan pertama terlontar dari mulutnya ialah " tok sir gi aku..." dan beberapa ketika kemudian (agaknya setelah berfikir) "ah!!! tanya kak dulu lah"...
Tanya aku tentulah aku suruh pergi... selagi ada peluang melanjutkan pelajaran, belajarlah... kalau dah tak mampu tu lain cerita... cuba dulu!

Aku lahir sebagai anak sulung dalam keluarga, dan cucu sulung datuk dan nenek dari sebelah emak. Sekaligus menjadi cucu pertama masuk universiti dan "makan gaji" (bangga tu)... Sebab itulah menjadi Kak Long pada ku ada tanggungjawab tersendiri... banyak perkara yang berkaitan dengan pelajaran akulah menjadi tempat rujukan adik-adik juga sepupu dari sebelah emak. Emak ayah selalunya akan berkata "tanya kak" sekiranya melibatkan urusan yang mereka tidak mengerti...

Seingat aku pada waktu belajar dulu semua urusan aku lakukan sendiri... ya lah, mak dan ayah manalah tahu urusan orang bersekolah... tetapi sokongan mereka dari segi moral dan kewangan tidak berbelah bahagi...

Setelah menjadi sedikit dewasa, banyak urusan berkaitan pengajian adik-adik diuruskan oleh aku. Hmm... kalau boleh jodoh mereka pun aku yang nak tentukan hehehe...

Ketika Din gagal dalam SPM nya kali pertama, akulah beria-ia memaksanya mengulang SPM... membawanya ke sekolah persendirian agar dia 'ada masa depan'... alhamdulillah dalam malas belajarnya dapatlah jugak Sijil SPM. Habis SPM aku jugaklah yang memikirkan ke mana hala tujunya... suruh minta IKBN, Giat MARA, bahkan menguruskan permohonannya menjadi ahli bomba, tetapi dalam temuduga Bomba Din telah gagal ujian angkat berat... Akhirnya berbekalkan sijil SPMnya itulah Abg Ta (sepupu dari sebelah ayah) telah membuka peluang untuknya mencuba nasib di rantau orang... dapatlah kerja di kilang Perodua Rawang, dan sehingga kini masih setia di situ...

Kemudian, semasa Yol yang berada di Tahun 3 Fakulti Kejuruteraan Petroleum, Universiti Teknologi Malaysia Skudai di'tendang' dari universiti kerana gagal dalam satu subjek walaupun setelah 'carry paper', aku yang berada di Beluran, Sabah ketika itu yang bersungguh-sungguh mencari peluang untuk dia meneruskan pengajiannya. Memaksanya memohon UiTM intake November dalam tempoh yg sudah hampir tarikh tutup permohonan. Sekali lagi memohon pertolongan Abang Ta membawa Yol ke UiTM Shah Alam bagi urusan permohonan. Bila dah dapat tawaran di UiTM Bukit Mertajam, Pulau Pinang Yol pulak cakap tak nak pergi sebab dia nak kampus Shah Alam... dari bumi di Bawah Bayu jenuh menelefon dia pujuk supaya pergi dulu... akhirnya Alhamdulillah... Yol meneruskan perjuangannya... walaupun tidak mendapat segulung Ijazah tetapi Diploma Kejuteraan Elektronik itulah yg menjadi tiketnya mendapat kerja sebagai juruteknik di beberapa buah kilang di Pulau Pinang sebelum kegawatan ekonomi menyebabkan dia diberhentikan kerja... akhirnya permohonan kerja yang baru membawanya ke Emiriah Arab Bersatu...

Ahmad pulak, selepas 6 tahun di UIA (2 tahun matrikulasi, 4 tahun ijazah) dapatlah segulung Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab. Budak ni berjiwa kampung... balik Kelate mintak kerja mengajar dengan Yayasan Islam Kelantan (YIK), mengajar di Sekolah Arab Permatang Rambai, Pasir Puteh. Jawatan kontrak. Dalam masa yang sama dia memohon KPLI-JQAF. Dah dapat tawaran JQAF tetiba tak nak pergi pulak dah... sebabnya dapat kat Sabah, Maktab Gaya... SK Pekan Membakut. Aku puas telefon pujuk suruh pergi jugak... tanya pendapat Acu Yi dan sebagainya... dalam 50-50 tu dia suruh jugak tempah tiket flight... kalau tak jd kira burn ah katanya... Akhirnya takdir Allah membawanya juga ke bumi Sabah... hehehe sekarang dengar cerita dah pandai cakap Brunei sikit-sikit. (http://www.sanggupa.wordpress.com/)

Kemudian Salim, selepas 2 tahun matrikulasi di Asasi UM Nilam Puri, dia meminta pendapatku apakah jurusan yang sepatutnya di pilih untuk peringkat ijazah. Aku memintanya memilih kursus Pendidikan Islam kerana pada masa sekarang amat kurang ustaz, buktinya di sekolah ku sendiri hanya terdapat seorang ustaz sedangkan ada 8 orang ustazah. Salim menurut saja, memang dia seorang anak yang paling baik di kalangan kami 11 beradik. Kiranya dialah yang 'betul-betul ustaz' di kalangan kami... Ahmad tu ustaz celup je hahaha. Sekarang Salim berada di Tahun Akhir Sarjana Muda Pendidikan Islam.

Seterusnya Masturah. Keputusan akhir Matrikulasi KPM yang diperolehinya yang hanya "cukup makan" merisaukan aku... takut dia akan mendapat kursus yang ntah apa-apa. Lalu sebelum mengisi borang permohonan aku menelefon ke beberapa buah universiti bertanyakan syarat minimum kursus yang ditawarkan... akhirnya KUKUM (sekarang UniMAP) menjadi pilihan pertama. Alhamdulillah sekarang Masturah juga sudah berada di Tahun Akhir Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik Universiti Malaysia Perlis. Jika tiada apa-apa halangan insyaAllah tahun depan dia akan grad serentak dengan abangnya Salim.

Hilmi pula setelah mendaftar di Tingkatan 6 mendapat tawaran ke Politeknik Jasin. Kursus Kejuruteraan Mekanikal. Aku tidak bersetuju jika dia berhenti Ting. 6 separuh jalan, lagi pula dia tiada asas dalam matapelajaran Fizik. Jadi Hilmi meneruskan pelajarannya di Tingkatan 6 sehinggalah mendapat sijil STPM yang membawanya ke UDM Ahad lepas.

Syamimi juga mengalami keadaan yang sama. Setelah mendaftarkan diri di Tingkatan 6 barulah mendapat tawaran mengikuti kursus Diploma Multimedia di UDM. Jadi perjuangannya diteruskan untuk menggenggam sijil STPM pada tahun ini.

Buat Hilmi., belajarlah rajin-rajin. Ingat! Tidak dapat masuk U tidak lah malu seperti keluar U tanpa ijazah.

Buat Sya, try your best in STPM.

Buat Farhan, Semoga dapat menggenggam 9A dalam PMR.

Buat Nabil, jangan hampakan harapan guru-gurumu untuk mendapat 5A dalam UPSR nanti.

Dan buat adik manja, Ain... jangan manja-manja sangat. Belajarlah rajin-rajin!!!

Tidak lupa sekalung tahniah buat adik-adik sepupuku... Siti yang berjaya ke UiTM dan Asma yang telah menjejakkan kaki ke Politeknik Kota Bharu. Tidak lupa juga Hisham yang sedang mengikuti Asasi UM di Nilam Puri. Semoga berjaya menggapai apa yang dicitakan.

Kak Long bangga dengan kamu semua!

1 comment:

sanggupa said...

skali baco sero sebok dale dado..
hute2 tok bayar lagi huhu